MPP ASPIRASI MAHASISWA

MPP ASPIRASI MAHASISWA

Saturday, October 15, 2011

LAPORAN WORLD YOUTH LEADER FORUM (HONG KONG)

Posted by ASPIRASI UKM 4:44 PM, under | No comments

Pada 19-23 Julai 2011 yang lalu, seorang MPP ASPIRASI UKM, Abdul Muein Abadi telah terpilih bersama-sama lapan orang pelajar UKM yang lain, iaitu Muhammad Nur Adzim (wakil Fakulti Pengajian Islam yang juga pemenang Pingat Emas Universiti pada Konvokesyen ke-39 yang lalu), Khoo Hau Wei (wakil Fakulti Perubatan yang juga pememgang Biasiswa Kanan Universiti pada majlis konvokesyen ke-39 yang lalu), Tan Sze Pei (wakil Fakulti Undang-undang yang juga penerima Biasiswa Yayasan Tun Suffian), Nurul Atiqah Izzati (wakil Fakulti Sains dan Teknologi), Choong Lai Yuan (wakil Fakulti Farmasi), Adnin Fatinah (wakil Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat), Nur Husna (wakil Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat), dan juga Muhammad Hasanuddin Bin Mohd. Yusoff (wakil Fakulti Undang-undang) untuk membentangkan kertas kerja di seminar World Youth Leaders Forum di Chinese University of Hong Kong (CUHK).  Kriteria pemilihan adalah berdasarkan dua orang pelajar yang memiliki PNGK tertinggi daripada setiap fakulti dan menghasilkan kertas kerja akademik yang diluluskan oleh panel penilai daripada Chinese University of Hong Kong (CUHK), boleh berkomunikasi dalam bahasa Inggeris dengan baik serta mempunyai karakter sebagai pemimpin.  Delegasi daripada UKM ini turut diiringi oleh Prof Dato’ Dr Laily Bin Din serta Dr Madeline Berma.



Saudara Abdul Muin memembentangkan kertas kerjanya

World Youth Leaders Forum (WYLF) ini mempunyai objektif untuk:
1.  menyediakan platform kepada mahasiswa di universiti-universiti di seluruh dunia untuk bertukar-tukar pandangan dan pendapat berhubung topik-topik pada peringkat serantau serta global
2.      Mempromosikan pendedahan serta persahabatan silang budaya
3.      Mengangkat tanggungjawab serta kesedaran sosial berhubung isu-isu global dan serantau
4.      Memupuk rasa kesalingbergantungan dalam era global

 
Pada edisi 2011, pihak penganjur WYLF telah memilih tema Reshaping the Post-Crisis World Order’ dengan tiga buah tema ekonomi, politik, dan juga sosial.  Saudara Abdul Muein Abadi telah membentangkan kertas yang bertajuk "Reshaping the Post-Crisis World Order: Analyzing US-Sino Competition Post 2008-2009 Subprime Crisis". Beliau membentangkan sebuah analisis mengenai impak persaingan antara Amerika Syarikat dan Republik Rakyat China ke atas pembentukan order ekonomi, politik, dan sosial dunia pasca krisis subprima 2008-2009.  Pembentangan beliau dipengerusikan oleh Professor Tsao King-kwun daripada Department of Government and Public Administration, The Chinese University of Hong Kong. 

Pada sesi soal jawab, saudara Abdul Muein Abadi telah menerima soalan antaranya berhubung kerelevanan perspektif Neo-Realism yang pro kepada pembangunan militari dan strategik dalam menilai pembentukan semula order dunia kerana meningkatnya kesedaran berhubung kerjasama dan keamanan dalam kalangan masyarakat antarabangsa pada hari ini.  Beliau telah menjawab bahawa pada peringkat antarabngsa, “negara” merupakan sebuah aktor yang rasional, maka sebagaimana rasionalnya perspektif Neo-Realisme dalam melihat persaingan perebutan sumber-sumber serta peluang-peluang pada hari ini, begitu juga rasionalnya sesebuah negara untuk cenderung membangunkan persenjataan dan pakatan keselamatan meskipun dalam masa yang sama berusaha mempromosi keamanan dan kerjasama pada peringkat antarabangsa. Beliau kemudiannya menggunakan contoh kes tercetusnya perang di kepulauan Korea pada tahun 2010 yang lalu sebagai petunjuk bahawa pembangunan militari dan strategik adalah masih relevan serta rasional bagi sesebuah negara pada hari ini.

Rombongan Delegasi Ke Hong Kong

Selain daripada menimba pengalaman membentang serta berdebat untuk mempertahankan kertas kerja pada peringkat antarabangsa, mahasiswa juga berpeluang untuk berinteraksi bersama dengan mahasiswa dan mahasiswi daripada universiti-universiti terkemuka dunia yang lain seperti daripada Universiti Harvard, Universiti Manchester, Institut d'Etudes Politiques de Paris, University of Massachusetts Boston, dan lain-lain lagi.  Maka, secara tidak langsung, mahasiswa dapat berbincang secara langsung berkenaan perkembangan budaya ilmu serta pembangunan penyelidikan pada peringkat sarjana muda lagi yang telah meletakkan universiti-universiti terbabit pada kedudukan yang tinggi pada persada antarabangsa.

Pada forum ini juga, saudara Muhammad Hasanuddin Bin Mohd. Yusoff dan saudari Choong Lai Yuan telah mengharumkan nama UKM apabila memenangi anugerah Best Poster Award menerusi poster yang dihasilkan masing-masing dalam kategori ekonomi dan sosial.
      
Forum WYLF ini akan diteruskan selama lima tahun lagi maka para pelajar UKM adalah digalakkan untuk mempersiapkan diri mulai sekarang sekiranya berminat untuk menyertai forum ini pada tahun 2012.



TEGUH SETIA BERSATU

0 comments:

Post a Comment