MPP ASPIRASI MAHASISWA

MPP ASPIRASI MAHASISWA

Tuesday, September 27, 2011

Pimpinan PMUKM Duri dalam Daging

Posted by ASPIRASI UKM 10:51 PM, under | No comments

MPP Aspirasi UKM terkejut dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Yang di Pertua  Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Malaya saudara Mohd Zahid Zaini yang menyatakan mendapat 'nasihat' daripada Pimpinan PMUKM yang diterajui oleh presiden Muzammil Khairi agar bersiap sedia dengan persediaan sambutan Festival Konvokesyen Universiti Malaya (Feskum). 

Tindakan Presiden PMUKM jelas menunjukkan sikap tidak matang dan keanak-anakkan apabila menuduh Aspirasi UKM sebagai punca kegagalan Pesta Konvokesyen 39 yang baru melabuhkan tirai malam ini. Tuduhan yang dilemparkan jelas menunjukkan pimpinan PMUKM hilang punca dalam mencari pendekatan sebenar yang diperlukan dalam memastikan kelancaran perjalanan karnival tahunan UKM itu. PMUKM juga telah menyebabkan Pesta Konvokesyen yang dipimpin melalui sekretariat naib presidennya Faizal Ahmad yang hanya diraikan mungkin sekali seumur hidup bagi graduan itu menjadi igauan buruk apabila perjalanan pesta begitu hambar dan sepi.



Mungkin disebabkan hal tersebut pimpinan PMUKM mengambil tindakan menyalahkan Sekretariat Aspirasi UKM selaku pihak yang perlu dipersalahkan sedangkan PMUKM dan Pesta Konvo 39 harus muhasabah diri dan cermin peribadi sebelum melontarkan apa-apa tuduhan. 

MPP Aspirasi UKM mencabar PMUKM membuat laporan Polis terhadap Aspirasi UKM andai benar PMUKM dan Pesta Konvo 39 mempunyai bukti yang sahih yang menunjukkan Aspirasi UKM terlibat terhadap kegagalan Pesta Konvo sesi ini. Jangan hanya menaburkan fitnah yang akhirnya menimbulkan kebencian sesama mahasiswa. 

MPP Aspirasi UKM berharap mahasiswa UKM dapat melihat dengan jelas sikap dan cara pimpinan PMUKM sesi kali ini yang seakan menjadi duri dalam daging yang semakin biadap sehingga menjatuhkan imej varsiti kita yang dicintai ini.

TEGUH SETIA BERSATU

Wednesday, September 21, 2011

Mahasiswa Dimomokkan Dengan Cerita Fitnah

Posted by ASPIRASI UKM 9:37 PM, under | No comments

Pertubuhan haram yang menggelarkan diri mereka Gabungan Mahasiswa UKM (GMUKM) hari ini menaburkan satu lagi cerita fitnah yang di rekayasa bagi mengalihkan perhatian mahasiswa terhadap kegagalan Pesta Konvo 39 yang akan bermula jumaat ini.

Plot kisah fitnah GMUKM kali ini menceritakan bagaimana seorang pengurus kolej mengadakan mesyuarat 'tergempar' bagi memikirkan bagaimana cara untuk menjatuhkan atau mencari kesilapan pada pesta konvo yang akan berlangsung tersebut.



MPP Aspirasi UKM kesal dan kecewa dengan tindakan GMUKM yang rata-ratanya merupakan cetusan dari pimpinan PMUKM sendiri yang menggunakan platform haram sebagai cara mengalihkan perhatian mahasiswa UKM terhadap kegagalan yang ingin disembunyikan mereka. Tindakan ini jelas menunjukkan bahawa PMUKM tidak menghormati nilai budaya dan norma yang digunapakai oleh UKM sejak dari dahulu lagi. Tindakan tidak profesional inilah yang akhirnya akan menjadikan mahasiswa UKM terus mandom dan tidak mampu mengadaptasi kehidupan luar kampus yang lebih mencabar. Tindakan tersebut juga satu cara mendapatkan 'mileage politic'  buat GMUKM.

MPP Aspirasi UKM menuntut GMUKM melalui PMUKM untuk menarik semula segala tuduhan palsu yang dilemparkan terhadap MPP Aspirasi UKM. Untuk rekod, Timbalan Presiden PMUKM merupakan Ahli Majlis Tertinggi GMUKM dan kini pertubuhan haram tersebut ketiadaan pengerusi.

 Ayuh teguh setia bersatu tolak pereka fitnah mengotorkan fikiran mahasiswa!!


:: TEGUH SETIA BERSATU::

Friday, September 16, 2011

Terima Kasih Abang dan Kakak Pemudahcara Pusat dan Kolej

Posted by ASPIRASI UKM 2:38 AM, under | No comments

Kiranya belum terlalu lewat untuk MPP Aspirasi UKM merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua barisan Pemudahcara (PC) Pusat dan Kolej yang telah bertungkus lumus dalam menjaga dan memastikan keselamatan dan kebajikan mahasiswa baharu sepanjang Bulan Mesra Pelajar (BMP) yang telah berlangsung dan sedang berlangsung.





Peranan dan komitmen yang dimainkan oleh semua PC menunjukkan bahawa mereka komited untuk memastikan mahasiswa baharu mendapat pendedahan yang sebenar mengenai UKM dan menyemarakkan rasa cinta kepada kolej kediaman yang dapat menjadikan mahasiswa lebih bersatu padu dalam menghadapi hari-hari mendatang di pembukitan ilmu UKM tercinta.

Buat mahasiswa baharu, hargai masa anda di kolej dan berinteraksilah dengan lebih kerap bersama PC dan JAKSA kolej anda untuk mendapatkan maklumat yang tuntas dan tepat mengenai sesuatu isu atau perkara.

TEGUH SETIA BERSATU

Wednesday, September 14, 2011

ICT Fair Pesta Konvo 39 Manifestasi Gerak Kerja Sambil Lewa Pimpinan PMUKM

Posted by ASPIRASI UKM 11:55 PM, under | No comments

MPP Aspirasi UKM kesal dengan tindakan kurang cerdik Sekretariat Pesta Konvokesyen ke 39 (Pesta Konvo 39) apabila menganjurkan karnival barangan elektronik (PC Fair) yang hangat berlangsung kini dengan memberikan hak penganjuran kepada sebuah syarikat swasta yang di kenali sebagai UNICOM. 

Justifikasi pemberian hak penganjuran PC Fair tersebut adalah bertitik tolak dari persefahaman antara Pesta Konvo 39 dengan syarikat terbabit yang bersetuju memberikan sejumlah Ringgit untuk perjalanan dan pengurusan Pesta Konvo 39. Namun syarikat tersebut akan mendapat laba berlipat kali ganda dengan mengambil keuntungan dari sewaan tapak dan kemudahan untuk pengerai yang mengambil bahagian dalam PC Fair tersebut. Keuntungan dari sewaan tapak tersebut seharusnya digunakan oleh Pesta Konvo 39 dalam mengorganisasi acara bagi kepentingan mahasiswa lainnya.


Justeru penganjur utama PC Fair kali ini adalah syarikat swasta tersebut dan bukannya Pesta Konvo 39 yang seharusnya memikul tanggungjawab tersebut. MPP Aspirasi UKM kecewa dengan tindakan sebegini yang jelas mencabul hasrat universiti yang menginginkan mahasiwa terlibat dari awal hingga akhir dalam penganjuran sesuatu program khususnya yang berkaitan dengan keusahawanan.

MPP Aspirasi UKM kecewa dan mohon respon Pengarah Eksekutif Pesta Konvo 39 saudara Faizal Ahmad merangkap Naib Presiden III PMUKM bagi menampilkan hujahan atas apa yang berlaku kini. Untuk rekod, Pesta Konvo 39 sebelum ini mendapat teguran dari pihak pengurusan universiti kerana mencipta logo yang dilihat mempunyai agenda politik tertentu dan menukarnya kepada logo yang ada kini. Pesta Konvo 39 juga di persoal oleh pihak pengurusan tertinggi UKM apabila menampilkan barisan ahli jawatankuasa yang hanya terdiri dari satu kaum dan tidak menggambarkan semangat perpaduan yang seharusnya subur dalam kalangan masyarakat kampus.

TEGUH SETIA BERSATU

Saturday, September 10, 2011

GMUKM Mula Main Sentimen

Posted by ASPIRASI UKM 3:34 PM, under | 1 comment

MPP Aspirasi UKM kesal dengan tuduhan tidak bersandarkan bukti dan di buat semata-mata bermotifkan politik yang dilemparkan Gabungan Mahasiswa UKM yang juga merupakan pertubuhan haram yang bergerak secara haram melalui beberapa proksi terhadap MPP Aspirasi UKM sepanjang Bulan Mesra Pelajar yang sedang berlangsung kini.

Menurut posting terbaharu di blog GMUKM mendakwa MPP Aspirasi UKM tinggal secara haram di Kolej Rahim Kajai dan cuba campur tangan dalam urusan Pemudahcara (PC) di kolej tersebut merupakan fitnah terbesar yang di rekayasa oleh GMUKM semata-mata untuk menarik simpati pelajar baru yang masih tidak mengenali 'budaya politik simpati' yang kerap dimainkan oleh GMUKM. MPP Aspirasi UKM mencabar GMUKM untuk mengemukakan bukti dan hujah yang sahih bagi menjustifikasikan semua tuduhan yang dilemparkan terhadap MPP Aspirasi UKM. 

MPP Aspirasi UKM mengingatkan pihak GMUKM agar jangan bermain dengan api kerana apa yang dilakukan oleh PMUKM melalui Ahli Majlis Tertingginya yang menghalang MPP Aspirasi UKM untuk masuk bertemu dengan pelajar baru ketika taklimat di fakulti tempoh hari menunjukkan siapa sebenarnya yang di tindas dan yang menindas. MPP Aspirasi UKM mempunyai bukti kukuh yang menunjukkan bagaimana GMUKM bergerak dan mempengaruhi PM Fakulti agar bersama dengan mereka menghalang MPP Aspirasi UKM untuk beramah mesra dengan pelajar baru.

Dalam pada itu, MPP Aspirasi UKM juga kesal dengan tulisan di blog tersebut yang merupakan agenda licik GMUKM untuk menanamkan rasa kebencian dan kurang senang terhadap pihak pengurusan kolej yang cuba disuburkan ke dalam jiwa pelajar baru untuk memudahkan agenda licik tersebut menjadi kejayaan. Tindakan memburukkan imej pengetua kolej mencerminkan sikap biadap dan budaya samseng yang menjadi salah satu cara meracuni fikiran pelajar baru. 

MPP Aspirasi UKM berharap agar pelajar baru sesi 2011/2012 jangan mudah terpedaya dengan dakyah dan cerita-cerita rekayasa GMUKM demi kepentingan politik dan langkah mencemarkan nama baik UKM telah pun mula di rangka oleh mereka dan menunggu feedback pelajar baru untuk direalisasikan. 

Teguh Setia Bersatu bersama Aspirasi UKM demi Agenda Aspirasi Mahasiswa untuk masa hadapan kita yang lebih gemilang.



TEGUH SETIA BERSATU

Wednesday, September 7, 2011

Perutusan Khas Sempena Kemasukkan Pelajar Baharu Sesi Akademik 2011/2012

Posted by ASPIRASI UKM 2:31 AM, under | 1 comment

Bismillahirahmanirahim
Assalamuaikum W.B.T, Salam Sejahtera, Salam 1 Malaysia 1 Aspirasi...

PEMBUKA BICARA
Pertama dan selamanya, marilah kita bersama-sama memanjatkan kesyukuran kehadratnya atas limpah keizinan dan takdir yang telah direncakankan oleh-Nya sehingga membolehkan kita dipertemukan dalam suasana kampus yang penuh barakah, nostalgik dan keramat ini. Sebagai pendahuluan bicara, saya mewakili seluruh tenaga kerja Sekretariat Aspirasi UKM mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas buat adik-adik pelajar baharu yang telah di pilih masuk untuk menyertai sekaligus menjadi warga varsiti tersohor negara yang bergelar Universiti Kebangsaan Malaysia ini. melihat kepada imbasan sejarah dan cerita lisan generasi terdahulu, sememangnya varsiti yang adik-adik sertai ini bukanlah calang-calang varsiti. Perjuangan rakyat seawal 1920-an yang menuntut pemerintah ketika itu menyediakan sebuah institusi yang menggunapakai bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa pengantar utama di peringkat pengajian tertinggi merupakan pencetus kepada kelahiran Universiti Kebangsaan Malaysia yang sentiasa menjadi universiti kebanggaan negara. Lantas detik keramat tanggal 18 Mei 1970 menjadi saksi kepada saat penting dalam sejarah pendidikan tinggi negara dengan kelahiran satu-satunya universiti yang di beri taraf kebangsaan dan menggunakan sepenuhnya bahasa Melayu iaitu bahasa kebangsaan negara ini sebagai bahasa ilmu dan sekaligus mengangkat darjat setiap warganegara yang bertutur menggunakan bahasa tersebut tanpa mengira kaum keturunan, agama dan warna kulit. Biarpun lebih empat dekad telah berlalu namun citra dan jiwa varsiti ini tetap utuh dan teguh dalam memelihara kesinambungan perjuangan tersebut.

ASPIRASI UKM
Sekretariat Aspirasi UKM merupakan badan pelajar yang ditubuhkan melalui Perlembagaan UKM dan didaftarkan dengan Pendaftar Pertubuhan Pelajar UKM sejak sesi 2004/2005 lagi. Badan pelajar ini digagaskan atas kesedaran dan perlunya sebuah pertubuhan pelajar yang dapat menggerakkan nilai-nilai aspirasi mahasiswa yang ditunjangi dengan idealogi kesederhanaan (wasatiah) dalam segenap aspek dan menolak sekerasnya budaya ekstrim yang melampau dalam semua perkara. Sejak bertahun lamanya Aspirasi UKM terus menjadi wahana dalam menyuburkan aspirasi universiti yang menggangkat dan menyemarakkan nilai-nilai aspirasi mahasiswa untuk terus terkehadapan seiring dengan kemajuan demi agama, bangsa dan tanah air tercinta.

Aspirasi UKM merupakan jambatan terunggul untuk melonjakkan potensi diri melalui pelbagai usaha pembangunan generik dan skill mahasiswa untuk memastikan kebolehpasaran (marketability) graduan UKM terus ke mercu kejayaan. Semua ini direalisasikan oleh Aspirasi UKM melalui kem-kem jati diri perdana, program pembangunan spiritual, kerohanian dan moral, aktiviti sukan lasak, wacana kepimpinan, seminar, konvensyen dan lain- lain yang dilaksanakan semata-mata agar dapat menjadi nilai tambah kepada mahasiswa untuk berhadapan dengan cabaran hari muka.

Aspirasi UKM tanpa prejudis mengangkat semua bangsa menjadi ikatan yang terpadu dan saling melengkapi dalam menghadapi cabaran dan rintangan yang penuh liku-likunya. Seiring dengan gagasan 1 Malaysia, Aspirasi UKM akan terus dan senantiasa komited dalam mewujudkan suasana kampus yang muhibbah, bersatu padu ke arah merealisasikan perpaduan dalam setiap warganegara. Malah, Aspirasi UKM juga merupakan satu-satunya pertubuhan pelajar di UKM yang mendapat pengiktirafan kerajaan persekutuan dalam menjadi pemangkin semangat 1 Malaysia di dalam kampus.

AGENDA ASPIRASI MAHASISWA & KONSEP TEGUH SETIA BERSATU
Agenda Aspirasi Mahasiswa merupakan rangka pemikiran yang dicetuskan oleh Aspirasi UKM untuk setiap mahasiswa tanpa mengira latar belakang yang direncanakan untuk mewujudkan persekitaran kampus yang aman dan harmonis sekaligus menolak anasir-anasir pelampau dengan tingkah laku persis ekstrimis demi survival mereka. Untuk itu, Agenda Aspirasi Mahasiswa ini merupakan satu set rangka pemikiran terbaik dalam menangkis segala budaya songsang yang cuba diterapkan oleh individu atau perkumpulan yang tidak bertanggungjawab tersebut.

Konsep Teguh Setia Bersatu merupakan tunjang pegangan Aspirasi UKM yang di adun dari semangat dan semua nilai yang ada dalam pertubuhan ini. untuk melahirkan masyarakat mahasiswa yang berprinsip dan mempunyai pegangan dalam menjayakan agenda diri sendiri, keluarga dan negara. Sehubungan itu, konsep Teguh Setia Bersatu ini wajar menjadi identiti setiap warga UKM yang ingin mengecapi kegemilangan dan kejayaan dalam segenap aspek.

AKHIR BICARA
Sebagai akhir bicara, saya sekali lagi mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua pelajar-pelajar baharu sesi akademik 2011/2012 yang telah pun menjadi warga UKM pada hari ini. Nikmati kehidupan di alam kampus ini dengan jiwa yang tenang dan hati yang girang agar kemanisannya dapat dikongsi buat tatapan generasi akan datang. Salam takzim dari saya dan seluruh warga Aspirasi UKM yang tidak akan jemu memberi tunjuk ajar buat anda sepanjang berada di pembukitan ilmu ini. 

Sekian, Wassalam..


MOHD KAMAL BIN ALI 
Presiden
Sekretariat Aspirasi 
Universiti Kebangsaan Malaysia
TEGUH | SETIA | BERSATU