MPP ASPIRASI MAHASISWA

MPP ASPIRASI MAHASISWA

Wednesday, September 7, 2011

Perutusan Khas Sempena Kemasukkan Pelajar Baharu Sesi Akademik 2011/2012

Posted by ASPIRASI UKM 2:31 AM, under | 1 comment

Bismillahirahmanirahim
Assalamuaikum W.B.T, Salam Sejahtera, Salam 1 Malaysia 1 Aspirasi...

PEMBUKA BICARA
Pertama dan selamanya, marilah kita bersama-sama memanjatkan kesyukuran kehadratnya atas limpah keizinan dan takdir yang telah direncakankan oleh-Nya sehingga membolehkan kita dipertemukan dalam suasana kampus yang penuh barakah, nostalgik dan keramat ini. Sebagai pendahuluan bicara, saya mewakili seluruh tenaga kerja Sekretariat Aspirasi UKM mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas buat adik-adik pelajar baharu yang telah di pilih masuk untuk menyertai sekaligus menjadi warga varsiti tersohor negara yang bergelar Universiti Kebangsaan Malaysia ini. melihat kepada imbasan sejarah dan cerita lisan generasi terdahulu, sememangnya varsiti yang adik-adik sertai ini bukanlah calang-calang varsiti. Perjuangan rakyat seawal 1920-an yang menuntut pemerintah ketika itu menyediakan sebuah institusi yang menggunapakai bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa pengantar utama di peringkat pengajian tertinggi merupakan pencetus kepada kelahiran Universiti Kebangsaan Malaysia yang sentiasa menjadi universiti kebanggaan negara. Lantas detik keramat tanggal 18 Mei 1970 menjadi saksi kepada saat penting dalam sejarah pendidikan tinggi negara dengan kelahiran satu-satunya universiti yang di beri taraf kebangsaan dan menggunakan sepenuhnya bahasa Melayu iaitu bahasa kebangsaan negara ini sebagai bahasa ilmu dan sekaligus mengangkat darjat setiap warganegara yang bertutur menggunakan bahasa tersebut tanpa mengira kaum keturunan, agama dan warna kulit. Biarpun lebih empat dekad telah berlalu namun citra dan jiwa varsiti ini tetap utuh dan teguh dalam memelihara kesinambungan perjuangan tersebut.

ASPIRASI UKM
Sekretariat Aspirasi UKM merupakan badan pelajar yang ditubuhkan melalui Perlembagaan UKM dan didaftarkan dengan Pendaftar Pertubuhan Pelajar UKM sejak sesi 2004/2005 lagi. Badan pelajar ini digagaskan atas kesedaran dan perlunya sebuah pertubuhan pelajar yang dapat menggerakkan nilai-nilai aspirasi mahasiswa yang ditunjangi dengan idealogi kesederhanaan (wasatiah) dalam segenap aspek dan menolak sekerasnya budaya ekstrim yang melampau dalam semua perkara. Sejak bertahun lamanya Aspirasi UKM terus menjadi wahana dalam menyuburkan aspirasi universiti yang menggangkat dan menyemarakkan nilai-nilai aspirasi mahasiswa untuk terus terkehadapan seiring dengan kemajuan demi agama, bangsa dan tanah air tercinta.

Aspirasi UKM merupakan jambatan terunggul untuk melonjakkan potensi diri melalui pelbagai usaha pembangunan generik dan skill mahasiswa untuk memastikan kebolehpasaran (marketability) graduan UKM terus ke mercu kejayaan. Semua ini direalisasikan oleh Aspirasi UKM melalui kem-kem jati diri perdana, program pembangunan spiritual, kerohanian dan moral, aktiviti sukan lasak, wacana kepimpinan, seminar, konvensyen dan lain- lain yang dilaksanakan semata-mata agar dapat menjadi nilai tambah kepada mahasiswa untuk berhadapan dengan cabaran hari muka.

Aspirasi UKM tanpa prejudis mengangkat semua bangsa menjadi ikatan yang terpadu dan saling melengkapi dalam menghadapi cabaran dan rintangan yang penuh liku-likunya. Seiring dengan gagasan 1 Malaysia, Aspirasi UKM akan terus dan senantiasa komited dalam mewujudkan suasana kampus yang muhibbah, bersatu padu ke arah merealisasikan perpaduan dalam setiap warganegara. Malah, Aspirasi UKM juga merupakan satu-satunya pertubuhan pelajar di UKM yang mendapat pengiktirafan kerajaan persekutuan dalam menjadi pemangkin semangat 1 Malaysia di dalam kampus.

AGENDA ASPIRASI MAHASISWA & KONSEP TEGUH SETIA BERSATU
Agenda Aspirasi Mahasiswa merupakan rangka pemikiran yang dicetuskan oleh Aspirasi UKM untuk setiap mahasiswa tanpa mengira latar belakang yang direncanakan untuk mewujudkan persekitaran kampus yang aman dan harmonis sekaligus menolak anasir-anasir pelampau dengan tingkah laku persis ekstrimis demi survival mereka. Untuk itu, Agenda Aspirasi Mahasiswa ini merupakan satu set rangka pemikiran terbaik dalam menangkis segala budaya songsang yang cuba diterapkan oleh individu atau perkumpulan yang tidak bertanggungjawab tersebut.

Konsep Teguh Setia Bersatu merupakan tunjang pegangan Aspirasi UKM yang di adun dari semangat dan semua nilai yang ada dalam pertubuhan ini. untuk melahirkan masyarakat mahasiswa yang berprinsip dan mempunyai pegangan dalam menjayakan agenda diri sendiri, keluarga dan negara. Sehubungan itu, konsep Teguh Setia Bersatu ini wajar menjadi identiti setiap warga UKM yang ingin mengecapi kegemilangan dan kejayaan dalam segenap aspek.

AKHIR BICARA
Sebagai akhir bicara, saya sekali lagi mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua pelajar-pelajar baharu sesi akademik 2011/2012 yang telah pun menjadi warga UKM pada hari ini. Nikmati kehidupan di alam kampus ini dengan jiwa yang tenang dan hati yang girang agar kemanisannya dapat dikongsi buat tatapan generasi akan datang. Salam takzim dari saya dan seluruh warga Aspirasi UKM yang tidak akan jemu memberi tunjuk ajar buat anda sepanjang berada di pembukitan ilmu ini. 

Sekian, Wassalam..


MOHD KAMAL BIN ALI 
Presiden
Sekretariat Aspirasi 
Universiti Kebangsaan Malaysia
TEGUH | SETIA | BERSATU

1 comments:

cayalah kamal.

raazakmohd
mantan mppupm 09/10

Post a Comment