MPP ASPIRASI MAHASISWA

MPP ASPIRASI MAHASISWA

Wednesday, May 18, 2011

TAHNIAH! UKM MENCAPAI UMUR 41 TAHUN..

Posted by ASPIRASI UKM 8:43 PM, under | No comments

Cetusan pertama gagasan perlunya pendidikan tinggi untuk orang Melayu berlaku dalam Mesyuarat Majlis Raja-raja pada 1903.  Za’ba, seorang cendekiawan, menulis berkenaan gagasan tersebut dalam akhbar Lembaga Melayu pada 1917.  Gerakan pemikiran, perdebatan serta tekad golongan cendekiawan Melayu untuk menubuhkan sebuah universiti dan menggunakan bahasa Melayu, bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar di institusi pengajian tinggi dalam negara bermula pada 1923 apabila Abdul Kadir Adabi, seorang lagi cendekiawan Melayu mengemukakan memorandum gagasan tersebut kepada DYMM Sultan Kelantan. Namun demikian, pemikiran dan tekad tersebut tidak dapat berkembang dan terlaksana kerana wujudnya berbagai-bagai halangan dan rintangan oleh tekanan kolonialisme.  Walau bagaimanapun, idea, pemikiran, semangat dan tekad terus hidup di kalangan intelektual Melayu dan perjuangan penubuhan sebuah universiti kebangsaan memuncak apabila negara mencapai kemerdekaan pada 1957.
Mulai 1957 hingga 1967, perjuangan untuk penubuhan universiti kebangsaan menjadi semakin bersemarak sebagai memenuhi tuntutan dan semangat kemerdekaan bangsa dan negara.  Sehubungan itu, pada 1968 segolongan cendekiawan Melayu telah membentuk sebuah jawatankuasa penaja yang berperanan merancang penubuhan sebuah universiti kebangsaan.  Pelbagai forum budaya dan politik diadakan bagi mendapat sokongan kerajaan dan rakyat untuk mewujudkan sebuah institusi pengajian tinggi yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam semua bidang pangajian dan keilmuan.  Kegigihan, tekad dan semangat perjuangan yang berkobar-kobar dan tidak pernah luput itu telah mencapai kejayaan dengan penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 18 Mei 1970.  Kumpulan pertama pelajar prasiswazah seramai 192 orang mula mendaftar di tiga buah fakulti, iaitu Fakulti Sains, Fakulti Sastera dan Fakulti Pengajian Islam pada Mei 1970. 
Sejak tarikh tersebut,  UKM berkembang pesat sebagai sebuah institusi pengajian tinggi awam terkehadapan yang kini mempunyai 12 fakulti dan Graduate School of Business (GSB-UKM), dan 14 insititut kecemerlangan penyelidikan.  UKM juga mempunyai entiti yang beroperasi secara komersial, iaitu UKM Holdings Sdn. Bhd. sebagai satu pendekatan praktis dalam memanfaat dan memasyarakatkan kepakaran yang dimiliki di samping membantu dalam penjanaan kewangan Universiti.  UKM Holdings ditubuhkan pada 2001 bagi menyelaras perjalanan sub-entiti di bawahnya iaitu Pusat Kembangan Pendidikan (PKP), UKM Kesihatan Sdn. Bhd., UKM Pakarunding Sdn. Bhd., UKM Perunding Kejuruteraan dan Arkitek Sdn. Bhd., Akademik Latihan Kebersihan dan Keselamatan Makanan (ALKEM), Food Quality & Research Unit (Unipeq), Puri Pujangga dan Talent Enhancement Academy. 
Kampus induk UKM yang mempunyai keluasan 1,096.29 hektar terletak di Bangi, Selangor Darul Ehsan, kira-kira  35 kilometer dari Kuala Lumpur.  Kampus ini terletak di sebuah lembah yang dikelilingi perbukitan dengan sekitaran menghijau yang menyediakan suasana nyaman dan tenang bagi proses penerokaan dan pengalaman menimba ilmu.  Fakulti dan institut kecemerlangan yang terletak di kampus induk Bangi ialah Fakulti Ekonomi dan Perniagaan, Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, Fakulti Pengajian Islam, Fakulti Sains dan Teknologi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Fakulti Undang-undang, Fakulti Pendidikan, Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat, Graduate School of Business (GSB-UKM), Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI), Institut  Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS), Institut Kajian Oksidental (IKON), Institut Sains Angkasa (ANGKASA), Institut Kejuruteraan Mikro dan Nanoelektronik (IMEN), Institut Biologi Sistem (INBIOSIS), Institut Penyelidikan Tenaga Suria (SERI), Institut Sel Fuell (SEL FUEL), Institut Islam Hadhari (HADHARI), Institut Kajian Rantau Asia Barat (IKRAB), Institut Kajian Etnik (KITA), Institut Kajian Bencana Asia Tenggara UKM (SEADPRI-UKM), Pusat Pengurusan Siswazah, Pusat Pengajian Umum, Pusat Perkembangan Pelajar dan pusat perkhidmatan yang lain.
Selain itu, UKM juga mempunyai sebuah kampus kesihatan di Jalan Raja Muda Abdul Aziz, Kuala Lumpur dengan keluasan 20 hektar yang menempatkan Fakulti Perubatan (Praklinikal), Fakulti Sains Kesihatan Bersekutu, Fakulti Pergigian dan Fakulti Farmasi.  Manakala Pusat Perubatan UKM (PPUKM) yang mempunyai keluasan 22.3 hektar di Cheras, Kuala Lumpur menempatkan Fakulti Perubatan, Hospital UKM dan Institut Perubatan Molekul (UMBI). 
Dalam usia 39 tahun penubuhannya, UKM telah mengeluarkan sejumlah 131,259 graduan; 113,975 graduan Sarjana Muda, 15,895 Sarjana dan 1,389 PhD.  Ini adalah hasil penawaran lebih daripada 103 program prasiswazah dan 170 program pascasiswazah. Peningkatan jumlah pelajar luar negara yang setakat ini berjumlah 2,415 pelajar dari 55 buah negara membuktikan penerimaan global terhadap program dan ekosistem ilmu UKM.  
Berasaskan kecemerlangan dalam bidang penyelidikan lebih tiga dekad, UKM dipilih sebagai salah sebuah universiti penyelidikan di Malaysia pada tahun 2006.  Keunggulan UKM terserlah dengan penempatan institut penyelidikan nasional dan antarabangsa, iaitu Institut Genom Malaysia (GENOMalaysia) dan International Institute of Global Health, United Nations University.  Proses pemantapan bidang penyelidikan disusuli dengan pengwujudan projek-projek tertumpu di bawah lapan (8) nic yang dikenalpasti iaitu Cabaran Membina Negara Bangsa, Pembangunan Lestari Wilayah, Tenaga Keterbaharuan, Teknologi Kesihatan & Perubatan, Perubahan Iklim, Nanoteknologi & Bahan termaju, Kepelbagaian Biologi dalam Pembangunan Bioteknologi dan ICT: Informatik Isian.
UKM juga adalah penerima Anugerah Kualiti Perdana Menteri 2006.  Penganugerahan ini adalah pengiktirafan bagi kecemerlangan UKM dalam bidang akademik dan pengurusan.  Dengan asas yang mantap ini,  UKM melestarikan kecemerlangannya melalui Pelan Strategik UKM 2000-2020 (PS2020).  Kini, UKM tampil dengan citra baru melalui garis tanda “Mengilham Harapan, Mencipta Masa Depan’.  Garis tanda ini memberi keyakinan kepada warganya untuk mengembangkan bakat yang dimiliki, tempat memupuk kebolehan, labuhan untuk berkarya dan berjaya dalam karyaan tersebut, kerana di sini mereka disediakan dengan prasarana untuk memiliki masa depan yang gemilang.
sumber:www.ukm.my
::TEGUH SETIA BERSATU::




0 comments:

Post a Comment