MPP ASPIRASI MAHASISWA

MPP ASPIRASI MAHASISWA

Friday, September 13, 2013

KEMAHIRAN INSANIAH : memahir kemahiran generik, mendidik MAHASISWA minda kelas pertama

Posted by ASPIRASI UKM 2:04 AM, under | No comments

SALAM MAHASISWA

KEMAHIRAN INSANIAH : memahir kemahiran generik, mendidik MAHASISWA minda kelas pertama.

   Berdasarkan Falsafah Pendidikan Negara, matlamat utama pendidikan negara adalah untuk menghasilkan individu yang seimbang serta harmoni dari segi intelek, rohani, emosi dan fizikal, berasaskan pegangan teguh dan kepercayaan kepada Tuhan. Oleh itu, aktiviti pengajaran dan pembelajaran harus difokuskan kepada pencapaian hasil pembelajaran dalam empat domain utama, iaitu kognitif (pengetahuan), psikomotor (kemahiran fizikal), afektif, dan sosial. Namun, sistem pendidikan yang sedia diamalkan hanya boleh dianggap berjaya dalam memberikan kemahiran kognitif dan sebahagian besar kemahiran psikomotor. Justeru, Kemahiran Insaniah (KI) domain afektif dan sosial yang sangat perlu bagi pembentukan insan kamil yang seimbang amat jauh ketinggalan. Akibatnya, produk sistem pendidikan kini ataupun modal insan yang dibentuk tidak seimbang seperti yang dihasratkan.

   Jika diteliti, masalah ini antara lain berpunca daripada ketidakseimbangan kurikulum, terutamanya dalam menentukan Hasil Pembelajaran (LO) dan taksonomi pembelajaran yang perlu dicapai, ketidakpelbagaian dalam penyampaian serta ketidakberkesanan pentaksiran dan penilaian, dan membiarkan aspek-aspek ini menjadi statik dan tidak dinamik. Strategi, pendekatan dan kaedah penyampaian dan penilaian pengajaran dan pembelajaran tidak diberi yang sewajarnya untuk memenuhi keperluan semasa. Aktiviti kokurikulum juga gagal dilihat sebagai komponen yang berasingan dan tidak disepadukan secara optimum dalam usaha membentuk dan menjana Kemahiran Insaniah (KI) yang diharapkan.


   IPT sebagai institusi pendidikan tertinggi harus menjadi tempat yang paling sesuai untuk menggilap Kemahiran Insaniah (KI) pelajar. Pelajar IPT pula perlu mempunyai keinginan dan keupayaan untuk melibatkan diri dalam proses pembentukan modal insan dengan minda kelas pertama ini. Justeru, penerapan Kemahiran Insaniah (KI) mesti dilaksanakan secara menyeluruh oleh universiti dengan melibatkan semua pihak yang ada hubungan dengan pelajar.

Definisi Kemahiran Insaniah

   Kemahiran Insaniah merupakan kemahiran generik. Kemahiran Insaniah (KI) merangkumi aspek kemahiran generik. Walaupun tidak terdapat satu senarai kemahiran yang khusus tentang Kemahiran Insaniah (KI), tetapi kebanyakannya berkait dengan kemahiran seperti kepimpinan, kerjasama berpasukan, komunikasi dan pembelajaran berterusan. Kemahiran Insaniah (KI) adalah antara elemen yang dikenal pasti amat kritikal dalam dunia pekerjaan yang bersifat global, apatah lagi dengan perubahan teknologi yang begitu pantas. Oleh itu, graduan IPT mesti menilai Kemahiran Insaniah (KI) yang memenuhi dan menepati kehendak pasaran kerja dan kehidupan harian yang kian mencabar.

   Dalam usaha menentukan elemen Kemahiran Insaniah (KI) untuk dilaksanakan dan diterima guna oleh IPT, kajian dan pandangan pakar serta pengalaman IPT yang telah melaksanakannya perlu diambil kira. Sebagai hasilnya, elemen utama yang di senarai di bawah ini telah dipilih untuk dilaksanakan di IPT:

(i) Kemahiran Berkomunikasi;
(ii) Pemikiran Kritis dan Kemahiran Menyelesaikan Masalah;
(iii) Kemahiran Kerja Berpasukan;
(iv) Pembelajaran Berterusan dan Pengurusan Maklumat;
(v) Kemahiran Keusahawanan;
(vi) Etika dan Moral Profesional
(vii) Kemahiran Kepimpinan

[Definisi Kem. Pelajaran Malaysia]

MEMBENTUK SISWA SISWI BERVISI GLOBAL

MPP ASPIRASI UKM

0 comments:

Post a Comment