[DARI MEJA MPP SISWI]
"MPP PRIHATIN MASYARAKAT : PROGRAM
KHIDMAT SOSIAL"
Alhamdulillah.
Berakhir sudah program saya dan beberapa rakan lain bersama para
penghuni Taman Seri Puteri Cheras. Taman Seri Puteri Cheras ini merupakan
sebuah pusat pemulihan, yang dihuni oleh remaja perempuan yang berusia bawah 18
tahun. Pusat pemulihan ini adalah bertujuan untuk memberi perlindungan dan
pemulihan kepada mereka yang terdedah kepada bahaya moral atau keruntuhan
akhlak dengan memupuk sikap dan nilai yang murni, bersesuaian dengan norma
masyarakat serta memberikan kemahiran yang bersesuaian.
Jam 9.30 pagi kami tiba di sana, terus disambut baik oleh
Encik Ismail Hj Mohd Noor, pegawai khas Dato Wira Syed Ali Al Habshee,
Pengerusi Yayasan Pendidikan Cheras , Dato Hjh Zurainah Musa, Pengerusi Taman
Seri Puteri, Puan Zuraida, Timbalan Pengetua Taman Seri Puteri Cheras, , Encik
Syairoz, pegawai dan kakitangan Yayasan Pendidikan Cheras dan Berjaya
Cooperation. Kami dibawa bersarapan bersama para penghuni dan kami juga turut
disertai oleh 20 orang pelajar dari Institut Profesional Baitulmal.
Para penghuni rata-rata berusia 12-17 tahun dan majoriti
daripada mereka sedang mengandung dan ada yang sudah sarat, menunggu masa untuk
bersalin. Secara jujur, perasaan saya pertama kali terlibat dalam program
bersama gadis-gadis ini, perasaan saya sayu dan sedih. Tetapi melihat
penerimaan mereka terhadap kami para fasilitator, kami tidak sabar untuk berada
bersama mereka dalam sesi Latihan Dalam Kumpulan (LDK) dan berkongsi input
sebanyak mungkin bersama mereka.
Objektif utama kami bersama para penghuni ini adalah
bertujuan untuk meningkat keyakinan dan daya kemampuan serta membina kembali
semangat mereka yang telah hilang kerana titik hitam yang mereka alami. Bukan
itu sahaja, semangat ini juga bertujuan untuk membantu mereka membentuk langkah
yang kukuh dan stabil selepas bersalin dan selepas keluar dari Taman Seri
Puteri Cheras tersebut.
Program bermula dengan ceramah dari seorang ustaz yang saya
kira memberi penuh impak kepada para penghuni bahkan kami juga, para
fasilitator. Tayangan video, lagu dan paparan slide yang ditayangkan sangat
menarik perhatian kami. Ceramah beliau penuh berunsurkan keinsafan dan
kata-kata peransang khusus kepada para penghuni. Surau tempat program diadakan
di penuhi dengan esakan-esakan para penghuni. Kami juga turut mendapat impak,
dalam memperbaiki diri dan membawa diri ke arah yang lebih baik.
Jam 11.30, program diteruskan dengan perasmian oleh Dato
Wira Syed Ali Al Habshee, Pengerusi Yayasan Pendidikan Cheras. Alhamdulillah,
rezeki para penghuni. Dato telah mengumumkan untuk memberi sedikit peruntukan
kepada Taman Seri Puteri serta menambah baik perkhidmatan penghawa dingin di
surau. Jelas terlihat pada wajah para penghuni, kegembiraan. Remaja-remaja ini
memerlukan perhatian, bukan kritikan, bukan kutukan. Buat pengetahuan semua,
keadaan Taman tersebut, memerlukan penambahbaikan dan Alhamdulillah, ada insan
yang sudi menghulur.
Selesai solat Zuhur secara berjemaah, program diteruskan
dengan sesi latihan dalam kumpulan (LDK). Pelajar dibahagikan kepada 4
kumpulan. Alhamdulillah lagi sekali, walaupun ada yang tengah sarat mengandung,
kelihatan mereka langsung tidak melepaskan peluang untuk melakukan
aktiviti-aktiviti yang telah kami sediakan.
Sekitar jam 3.30 petang, tamatlah sudah program kami bersama
para penghuni. Sekali lagi, esakan memenuhi ruang surau. Masa yang kami
luangkan bersama mereka terasa begitu singkat. Namun Alhamdulillah, bersyukur
kepada Allah, kerana dengan izinNya, kami dapat meluangkan masa bersama mereka
dan saya kira, kami telah cuba melakukan terbaik untuk mereka. Saya tinggalkan
saudara saudari dengan kata-kata seorang penghuni ini.
“ Terima kasih akak. Terima kasih kerana mendengar. Terima
kasih untuk tidak mencaci. Terima kasih kerana menerima saya. Doakan saya kuat
untuk berjumpa ibu dan ayah saya bersama zuriat ini”
Wassalam.
Melaporkan :
NUR AZREEN ABDUL MALEK
MPP UKM 2012/2013
0 comments:
Post a Comment