KUALA LUMPUR, 12 Mac - Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
membuat satu lagi pencapaian menakjubkan apabila seorang pesakit disedarkan
sewaktu pembedahan sedang dilakukan.
Ia adalah pembedahan pertama ‘Awake Craniotomy’ yang
dilakukan di Pusat Perubatan UKM. Pembedahan itu dilakukan untuk mengeluarkan
ketumbuhan dari otak pesakit tanpa menyebabkan kerosakan otaknya. Kalau pun ada
kerosakan yang dialaminya sangat kecil.
Siapa yang tidak mengetahui mungkin terkejut bahawa pesakit
terbangun semasa pembedahan sedang dijalankan. Tetapi dalam pembedahan ini
menyedarkan pesakit kembali adalah disengajakan. Malah pesakit perlu disedarkan
untuk memberitahu doktor bedah reaksinya bagi melindungi fungsi otak pesakit.
Pembedahan ini telah dilakukan oleh Pakar bedah Neurologi,
Professor Madya Dr Ramesh Kumar dengan dibantu oleh tiga lagi pakar bedah iaitu
Dr Toh Charng Jeng, Dr Sanmugarajah
Paramasvaran and Dr Ainul Jaffar.
Dr Esa Kamuruzaman adalah pakar bius yang bertanggung jawab
bagi melalikan pesakit sebelum menyedarkannya semula sebaik tempurung kepala
pesakit telah dibuka. Pesakit disedarkan semasa pembedahan bagi membolehkan
ketumbuhan dikeluarkan dengan selamat.
Pembedahan sebegini selalu dilakukan untuk mengeluarkan
ketumbuhan yang berada di bahagian otak yang dikenali sebagai ‘Eloquent
Brain’. Ini adalalah bahagian yang
mengawal fungsi penting seperti komunikasi, persepsi, interaksi dan pergerakan
Bahagian tersebut mengurus deria, pergerakan dan pertuturan
yang merupakan fungsi penting untuk kehidupan normal.
Yang menakjubkan pembedahan unik ini ialah pesakit turut
mengambil bahagian semasa pembedahan dengan memberi maklum balas kepada pakar
bedah. Pakar bedah akan bertindak berdasarkan maklum balas dari pesakit.
Yang tidak mengetahui mungkin menganggapnya mengerunkan
semasa pesakit mula sedar ketika pembedahan sedang dilangsungkan dan menjawab
soalan yang diajukan kepadanya.
Dr Ramesh berkata pesakit perlu disedarkan semasa pembedahan
berlangsung kerana ia adalah untuk membolehkan pemotongan maksimum sambil
memastikan tidak ada kecederaan ataupun hanya kecederaan minimum berlaku kepada
tisu otak yang normal. Ini adalah untuk menentukan pesakit tidak mengalami
kehilangan fungsi yang boleh menjejaskan pesakit.
Cara terbaik untuk memastikan pesakit tidak mengalami
kerosakan fungsi tubuh badan akibat pembedahan itu adalah melalui maklum balas
dari pesakit sendiri.
Ini tidak dapat diketahui jika pesakit berada dalam keadaan
tidak sedarkan diri
Dr Ramesh berkata pesakit akan ditanya berapa soalan dan
disuruh untuk melakukan beberapa perkara yang mudah semasa ketumbuhan dipotong.
Ini bagi melihat sama ada bahagian otak yang mengawal fungsi tersebut tidak
mengalami kerosakan akibat pembedahan yang dibuat.
Perubahan fungsi yang dikawal oleh bahagian otak tersebut
diperhatikan dengan rapi. Jika terdapat perubahan yang negatif pada fungsi dan
reaksi pesakit pembedahan akan dihentikan.
Walaupun terdapat teknologi MRI yang dapat mengesan di mana lokasi
ketumbuhan tetapi ia masih belum cukup tepat.
Dengan hanya berpandukan imbasan MRI pembedahan boleh
diumpamakan seperti meredah kawasan yang penuh dengan perangkap samar.
Sebarang kerosakan kepada bahagian ini, walaupun cuma satu
milimeter boleh menyebabkan pesakit terpaksa hidup dengan kecacatan yang
hakiki.
Dr Ramesh berkata “Walaupun imbasan MRI dapat menunjukkan
bahagian pertuturan dan pergerakan. Ia mungkin tidak menunjukkan bahagian yang
penting dengan tepat.
“Oleh itu pemetaan otak dibuat dengan rangsangan elektrik
kepada otak semasa pesakit sedar. Ini adalah cara yang paling berkesan bagi
melindungi saraf,” kata Dr Ramesh.
Otak tidak mempunyai sistem penyembuhan sendiri jadi jika
mana-mana bahagian mengalami kerosakan ia tidak akan pulih atau tumbuh kembali.
Pesakit akan diberi anestesia am sebelum pembedahan
dimulakan untuk melalikannya. Pakar bedah akan memulakan pembedahan dengan
membuka tempurung kepala untuk sampai kebahagiaan otak.
Pesakit perlu menerima bius kerana kulit kepala dan
perikranium (tisu di yang menyelaputi tempurung) berasa sakit sementara otak
tidak mempunyai deria sakit. Selepas tempurung kepala pesakit dibuka, anestesia
dibalikkan menyebabkan pesakit terjaga.
Selepas pemotongan ketumbuhan dibuat, pesakit dilalikan
semula untuk menutup kembali tempurung kepala.
Oleh sebab pembedahan tersebut agak menggerunkan bagi
pesakit mereka diberi kaunseling yang terperinci sebelum pembedahan dilakukan.
Pesakit pertama yang menjalani pembedahan ‘Awake
Craniotomy’ telah pun sembuh dan kini
berada dalam keadaan sihat.
Maklumat lanjut mengenai pembedahan itu boleh didapati
dengan menghubungi Puan Mahani di mahani.ramdani@ppukm.edu,my.\
Sumber : http://www.ukm.my/news/index.php/ms/berita-penyelidikan/1371
http://pm-ukm.blogspot.com/2013/03/tahniah-ukm-ukm-bedah-pesakit-sedar.html
0 comments:
Post a Comment